Bismillah...Alhamdulillah...Selawat dan Salam buat Rasulillah s.a.w...
Telah berkata para arif billah: "kenal diri, maka kamu akan kenal Tuhan"
Maknanya secara ringkas, kenallah hakikat diri, iaitu hamba Allah s.w.t., maka akan kenallah Allah s.w.t. sebagai Tuhan kita.
Sesiapa yang kenal kehambaan diri (Ubudiyah) dan merealisasikannya dalam bentuk Ibadah (ketaatan), maka dia akan mengenali bahawa, dia mempunyai Tuhan yang perlu ditaati dan disembah dan, dari-Nya wujudnya dirinya dan kepada-Nya jua kembalinya dirinya.
Semakin meningkat pengenalan kita tentang hakikat diri (UBUDIYAH), semakin meningkat pengenalan kita tentang Allah s.w.t. (RUBUBIYAH dan ULUHIYAH-Nya), dan tiada penghujungnya peningkatan makrifat tersebut.
Ciri-ciri orang yang kenal hakikat kehambaan diri:
Rendah diri
Sentiasa menyalahkan diri dari maksiat yang dilakukan
Sentiasa mensyukuri nikmat yang diberi oleh Allah s.w.t. kepadanya
Sentiasa merasakan bahawa, semua kebaikan seperti ketaatan, ibadah dan amalan soleh yang dilakukan merupakan suatu kurniaan dari Allah s.w.t., dan kita hanyalah dipilih oleh Allah s.w.t. untuk diberi nikmat ketaatan tersebut
Merasakan diri sendiri sebenarnya tidak layak untuk mengemis cinta Allah s.w.t. kerana kehinaan diri di hadrah Ilahi s.w.t., tetapi terpaksa mengemis kasih dari-Nya kerana memerlukan cinta Allah s.w.t..
Merasakan bahawa, diri sendiri sentiasa dalam pentadbiran Allah s.w.t., dan tidak sibuk bergantung dengan asbab. Jika Allah s.w.t. menjadikannya di kalangan ahli asbab sekalipun, dia mengambil asbab tersebut kerana ianya merupakan perintah dari Allah s.w.t. (takkala memilihnya sebagai ahli asbab), namun tidak sedikitpun merasakan bahawa, dia memerlukan kepada asbab, kerana dia hanya memerlukan Allah s.w.t.
Sentiasa merasa takut kepada Allah s.w.t. dari kemurkaan-Nya.
dan sebagainya...
Makrifatu An-Nafs merupakan zauq (persaaan) dalam diri yang pelbagai, dan tiada penghujungya, setiap kali Allah s.w.t. menyingkap hijab-hijab dari diri dan menzahirkan hakikat diri kepada diri sendiri.
Takkala itu, terbitlah makrifatullah sejajar dengan makrifatunnafs.
Takkala mengenal diri begitu hina, maka hanya Allah s.w.t.lah yang Maha Mulia
Takkala mengenali diri begitu kerdil, maka pada ketika itu, kenallah bahawa hanya Allah s.w.t. yang Maha Berkuasa.
Takkala mengenali diri sebagai hamba, maka kenallah bahawa hanya Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang layak ditaati secara mutlak tanpa penyekutuan.
Takkala mengenali diri amat berhajat kepada pergantungan dalam menempuh kehidupan dunia ini, maka ketika itulah, kita mengenali Allah s.w.t. sebagai tempat pergantungan segala sesuatu.
Diri sendiri ialah tempat tajalli af'al (perbuatan) Allah s.w.t., dari sifat Allah s.w.t..
Oleh itu, Nama-nama Allah s.w.t. mewakili sifat-sifat-Nya. Sedangkan sifat-sifat Allah s.w.t. dikenali dengan af'al-Nya dan af'al-Nya dikenali dengan penyingkapan hakikat diri.
Semakin terbuka hakikat diri dalam diri kepada diri, semakin jelas makrifatullah dalam diri, kerana diri pada hakikatnya ialah makhluk DIA, kerana ia (diri) dari DIA. Setiap dari Dia ialah kepunyaan-Nya. Mana milik kita?
Kata sya'ir sufi yang masyhur:
di manakah kamu,takkala dibanding dengan kecantikan-Nya,
demi Allah, tidaklah kamu melainkan Dia juga...
Adapun ahli fana' yang lemas dalam musyahadatullah dalam lautan Ahadiah yang tiada bertepi, merupakan golongan yang telah terealisasinya makna Ubudiyah dalam diri takkala zahirlah dari itu, Rububiyah Allah s.w.t. sehingga lenyaplah syuhud Ubudiyah dalam Musyahadah Rububiyah sehingga timbullah zauq yang pelbagai.
Jika zauq-zauq tersebut diungkapkan, maka, ianya akan menimbulkan fitnah seperti perkataan "Ana Al-Haq" (Sayalah Tuhan yang Maha Benar). Oleh itu, zauq-zauq ini merupakan sir-sir antara hamba dengan Allah s.w.t.
Lebih dari ini, tidak dibenarkan untuk dibahaskan di perbahasan awam. Ilmu ini ialah ilmu zauqi, tidak dipindahkan melainkan dari lisan Sheikh kepada muridnya yang dipilih. Jadi, rujuklah kepada mursyid masing-masing untuk lebih jelas, insya Allah...
Wallahu a'lam...
No comments:
Post a Comment