HAKIKAT AHMADIAH
Suasana Ilmu Allah diumpamakan berada dalam Kaabatullah. Orang yang berada di dalam kota tidak dapat menyaksikan apa yang ada di luar kota. Kota menghalang perhubungan orang yang berada di dalam dengan orang yang berada di luar. Dalam perjalanan kerohanian kota yang menghijab adalah kesedaran yang menguasai hati. Hati yang terbungkus dan terikat oleh suasana kebatinan yang menguasainya. Hati yang ‘terkurung' di dalam suasana Ilmu tidak dapat bercampur gaul dengan orang ramai.
Suasana hakikat yang dialami oleh hati memberi kesan yang sangat mendalam. Ia tidak hilang dengan serta merta walaupun berlaku perubahan stesen dan makam. Apabila "dinding Kaabatullah terbuka" si hamba keluar daripada kesedaran Ilmu dan masuk kepada kesedaran rohani yang belum terikat dengan jasad. Pada permulaan peringkat ini kesan daripada ‘pertemuan' dengan hakikat-hakikat masih lagi mempengaruhi kesedarannya. Pengaruh atau kesan daripada hakikat-hakikat tersebut membawa ke dalam kesedarannya penyaksian terhadap Hakikat Ahmadiah. Hatinya menyaksikan bahawa Ahmad adalah suasana roh yang paling latif, paling suci dan paling murni. Ahmad adalah nama bagi roh yang mempunyai kesempurnaan makrifat, kesempurnaan ilmu dan kesempurnaan kehambaan. Ahmad atau roh yang paling latif itulah menjadi roh kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Dan ingatlah tatkala berkata Isa anak Maryam: "Wahai Bani Israil! Sesungguhnya aku ini adalah Utusan Allah kepada kamu, membenarkan apa yang ada di antara kedua tanganku daripada Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang sesudahku, yang namanya AHMAD!" Maka tatkala dia telah datang kepada mereka dengan bukti-bukti yang nyata, mereka berkata, "Ini adalah sihir yang nyata". ( Ayat 6 : Surah as-Saff )
Sebelum Nabi Muhammad s.a.w lahir ke dunia baginda s.a.w disaksikan pada Alam Arwah sebagai Ahmad. Sesudah baginda s.a.w dilahirkan baginda s.a.w dinamakan Muhammad dan juga bergelar Ahmad. Dalam kesedaran peringkat Ilmu, si hamba merasai kehadiran Hakikat Muhammadiah, Hakikat Insan Kamil dan hakikat hamba Tuhan. Dia melihat Hakikat-hakikat tersebut sebagai urusan Tuhan yang menguasai perjalanan sekalian makhluk. Dalam kesedaran rohani pula si hamba merasai kehadiran Hakikat Ahmadiah dan dia menyaksikan bahawa roh yang paling latif itulah penjana segala urusan Tuhan kepada makhluk.
Dan mereka bertanya kepada engkau tentang Roh. Katakanlah: "Roh itu adalah urusan Tuhanku, dan kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit". ( Ayat 85 : Surah Bani Israil )
(Ingatlah) tatkala Tuhan engkau berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah. Maka apabila Aku sempurnakan kejadiannya dan Aku tiupkan kepadanya daripada Roh-Ku hendaklah kamu meniarap kepadanya dalam keadaan sujud". ( Ayat 71 & 72 : Surah Saad )
Seterusnya Allah s.w.t berfirman:
Maha Luhur darjat-Nya, Yang Empunya Arasy. Dia turunkan Roh dari urusan-Nya kepada barangsiapa yang Dia kehendaki daripada hamba-hamba-Nya untuk memberi peringatan tentang hari pertemuan. ( Ayat 15 : Surah al-Mu'min )
Seterusnya Allah s.w.t berfirman:
Dan demikianlah Kami wahyukan kepada engkau satu Roh dari urusan Kami. Padahal tidaklah engkau tahu apa itu Kitab dan apa itu iman. Tetapi Kami jadikan ia nur yang Kami beri petunjuk dengan ia barangsiapa yang kami kehendaki daripada hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau akan memimpin kepada jalan yang lurus. (Iaitu) jalan Allah, yang kepunyaan-Nya apa yang ada di semua langit dan apa yang ada di bumi. Ketahuilah! Kepada Allah akan sampai segala urusan. ( Ayat 52 & 53 : Surah asy-Syura )
Kewujudan roh yang paling latif itulah menyebabkan manusia memiliki bakat dan nilai kemanusiaan; manusia menjadi hidup, berkuasa, berkehendak, mengetahui, mendengar, melihat dan berkata-kata. Tanpa kewujudan roh yang paling latif atau Ahmad sebagai pemangkin atau hijab, apa yang daripada Tuhan tidak dapat diterima oleh makhluk. Makhluk yang selain roh yang paling latif itu tidak ada kekuatan untuk menyambut apa yang Tuhan ‘hantarkan' daripada Hadrat-Nya.
Dari kalangan hamba-hamba-Nya dipilihnya sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dan dibukakan hijab di antara hamba-Nya itu dengan cahaya roh yang paling latif itu. Hamba yang ada perkaitan dengan roh yang paling latif secara demikian berkedudukan sebagai khalifah Allah. Khalifah Allah peringkat paling tinggi adalah golongan nabi-nabi, diikuti oleh golongan wali-wali dan orang salih. Khalifah Allah bertugas memberi peringatan tentang hari pertemuan dengan Allah s.w.t, Tuhan Yang Maha Esa, Maha Perkasa. Mereka membimbing umat manusia kepada jalan yang lurus iaitu jalan Tuhan sekalian alam.
Hamba yang berkedudukan sebagai khalifah Allah telah dibawa kepada makam penyaksian yang meneguhkan keyakinan mereka, sebagaimana Allah s.w.t meneguhkan keyakinan Nabi Ibrahim a.s.
Dan demikianlah Kami bukakan kepada Ibrahim kerajaan langit dan bumi supaya jadilah dia daripada orang-orang yang benar-benar yakin. ( Ayat 75 : Surah al-An'aam )
Keyakinan yang sebenarnya membawa hamba kepada suasana:
Sesungguhnya aku hadapkan wajahku kepada yang menjadikan semua langit dan bumi, dengan ikhlas, dan tidaklah aku daripada orang-orang yang mempersekutukan-Nya. ( Ayat 79 : Surah al-An'aam )
Hamba yang sejati adalah hamba yang dapat melakukan "menghadap wajahnya kepada Tuhan yang menjadikan langit dan bumi, dengan ikhlas dan tidak mempersekutukan-Nya". Inilah makam yang paling tinggi boleh dicapai oleh seorang hamba Tuhan. Wajah hamba Tuhan menghadap kepada Yang Hakiki. Dia juga menyaksikan kerajaan-Nya. Perbuatan zahirnya dan amalan hatinya ikhlas kerana Allah s.w.t, bersih daripada syirik. Itulah para hamba yang layak bergelar khalifah Allah. Kepada mereka Allah s.w.t tujukan firman-Nya:
Sesungguhnya orang-orang yang berkata: "Tuhan kami adalah Allah!" kemudian mereka tetap lurus, nescaya akan turun kepada mereka malaikat (yang berkata), "Jangan kamu takut dan jangan kamu berdukacita dan bergiranglah dengan syurga yang pernah dijanjikan kepada kamu. Kami adalah pelindung-pelindung kamu pada penghidupan di dunia dan pada akhirat, dan untuk kamu di dalamnya apa sahaja keinginan dirimu dan untuk kamu di dalamnya apa yang kamu minta. Sebagai jamuan dari Pengampun, Penyayang". ( Ayat 30 - 32 : Surah Fussilat )
Mereka adalah golongan yang menerima pembentukan yang paling baik daripada Allah s.w.t.
Pencelupan Allah! Dan siapakah yang lebih baik pencelupannya daripada Allah? Dan akan Dia jualah kami menyembah. ( Ayat 138 : Surah al-Baqarah)
Mereka yang menerima pencelupan yang paling baik adalah yang kekal di dalam kehambaan, mengabdikan diri kepada Allah s.w.t, menyembah-Nya dan melaksanakan perintah dan peraturan-Nya. Mereka memulakan perjalanan sebagai hamba dan kembali sebagai hamba juga. Segala pengalaman kerohanian yang dilalui adalah untuk memperteguhkan kehambaan itu, menyesuaikan diri dengan al-Quran dan as-Sunah, mencontohi kehidupan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat yang mendapat keredaan Allah s.w.t. Mereka kembali kepada kesedaran kemanusiaan biasa seperti semula kerana tanpa kesedaran kemanusiaan hukum dan peraturan Tuhan tidak dapat dilaksanakan. Manusialah yang diangkat menjadi Rasul dan manusia juga yang mengembangkan ajaran Tuhan. Malaikat tidak diangkat menjadi Rasul untuk memimpin manusia. Tuhan memilih dari kalangan manusia juga untuk memimpin umat manusia. Sekalipun ada orang yang diizinkan mengalami berbagai-bagai suasana hakikat tetapi itu bukanlah matlamat. Matlamatnya adalah membentuk insan yang layak dipanggil umat Nabi Muhammad s.a.w yang berkedudukan sebagai hamba Tuhan.
Si hamba telah memanjat gunung yang tinggi. Dengan izin dan melalui bimbingan-Nya si hamba itu terselamat daripada segala bahaya yang ada di sepanjang jalan. Bahaya yang besar ada dua jenis. Bahaya jenis pertama datangnya daripada luar, dibawa oleh syaitan, dunia yang menipu daya dan makhluk yang menjadi agen syaitan. Bahaya tersebut dijumpai dalam perjalanan menuju Tuhan. Penghapusan kesedaran diri menjadi penawar bagi menghancurkan bahaya tersebut. Setelah melepasi bahaya yang datang daripada luar itu si hamba berhadapan pula dengan bahaya yang datang daripada dirinya sendiri yang bergerak melalui hawa nafsunya, memakai pakaian kehendak, cita-cita, angan-angan dan harapan. Selagi si hamba mempunyai kemahuan yang keras atau cita-cita yang kuat dia tidak akan selamat daripada bahaya dirinya. Nafsu mudah terangsang oleh sifat Rabbaniah (sifat ketuhanan). Nafsu mudah lupa diri dan memakai sifat yang tidak layak dipakai olehnya. Bahaya jenis ini hanya terhapus melalui penyerahan kepada Allah s.w.t secara menyeluruh dan mengikat dirinya dengan tali kehambaan walau bagaimana tinggi kedudukan yang dicapainya.
Dalam perjalanan menaik si hamba melepaskan segala hak kepada Yang Empunya Hak seperti orang membuka pakaiannya dan diserahkannya kepada Tuan pakaian. Penelanjangan secara menyeluruh atau tajrid menjadi kenderaannya. Di dalam kenderaan tajrid tidak ada ilmu dan tidak ada makrifat. Si hamba semata-mata berdiri tegak demi Wajah Allah s.w.t, untuk-Nya semata-mata dan bersama-Nya dalam segala perkara dan semua ketika. Si hamba menitipkan namanya, sifatnya dan kewujudannya kepada Allah s.w.t sehingga dia masuk ke Hadrat-Nya tanpa nama, tanpa sifat, tanpa perhatian kepada diri sendiri dan makhluk lainnya juga tidak ada. Pengalaman hakikat-hakikat tidak melepaskan pandangannya kepada Allah s.w.t. Insan kamil juga tidak boleh menjadi hijab di antara hamba dengan Allah s.w.t. Si hamba masuk ke Hadrat Allah s.w.t tanpa sebarang bekal. Penyerahan itulah kekuatan sejati yang menggerakkannya untuk maju terus sehingga sampai kepada matlamat.
Kini Allah s.w.t kembalikan apa yang diserahkan kepada-Nya untuk dijaga. Tuan pakaian mengembalikan pakaiannya dan dia diizinkan memakai pakaian tersebut sebagai menyatakan bahawa dia adalah hamba Tuhan. Bila si hamba memakai pakaian hamba Tuhan maka Tuhan menguruskan kehidupannya, sebagaimana yang dilakukan oleh Tuan terhadap hamba-Nya.
Peringkat permulaan kembali kepada kesedaran kemanusiaan si hamba hanya menyaksikan kekuasaan Tuhan semata-mata. Dia tidak melihat keberkesanan hukum yang Tuhan letakkan pada makhluk-Nya. Hatinya melihat bahawa makhluk dengan zat dirinya tidak memiliki apa-apa kuasa, tidak berupaya mendatangkan manfaat atau mudarat. Dalam kesedaran yang demikian jika dia berhadapan dengan ribut kencang dia tidak akan mencari perlindungan. Jika dia berhadapan dengan kilat dan petir juga dia tidak mencari perlindungan. Jika matanya berbetulan memandang kepada matahari dia tidak bersegera mengalihkan pandangannya. Dalam menghadapi semua yang kelihatan memberi kesan itu hatinya berkata, "Kamu adalah makhluk Tuhan. Kamu tidak ada kuasa membinasakan daku. Hanya Tuhan yang memiliki kekuasaan". Keyakinan yang kuat kepada Tuhan melindunginya. Bila dia menghadapi anasir alam dengan meletakkan pergantungan bulat kepada Tuhan perkara yang menggerunkan bertukar menjadi ‘jinak' dan ‘mesra.' Angin kencang mengeluarkan lagu yang merdu. Cahaya kilat menjadi permainan bunga api yang indah. Matahari yang sedang terik memancar kelihatan suram, menyentuh bola mata dengan lemah lembut.
Ketika berada pada tahap ini si hamba tidak tahu berterima kasih kepada sesama manusia. Dia hanya melihat Tuhan yang memberi. Bila dia bergerak lebih jauh ke dalam kesedaran keinsanan pandangannya akan berubah. Jika dia menerima sesuatu daripada makhluk, sekalipun dia melihat Pemberi sebenar adalah Tuhan, tetapi dia sudah dapat menghargai makhluk yang dipilih oleh Tuhan menjadi utusan yang menyampaikan kurniaan Tuhan itu dan dia berterima kasih kepadanya. Terima kasih kepada makhluk dan syukur kepada Tuhan boleh berlaku dalam satu masa. Dia juga sudah boleh menghormati anasir-anasir alam yang memberi kesan kerana dia melihat Tuhan yang meletakkan kesan tersebut kepada mereka. Sebagai menghormati dan menerima peraturan Tuhan dia memperakui kesan yang ada dengan anasir-anasir tersebut. Dia sudah boleh melihat bahawa angin, kilat dan matahari boleh membinasakan dengan izin Allah s.w.t. Kesan yang Tuhan letakkan kepada anasir-anasir tersebut merupakan keizinan Tuhan kepada mereka untuk berfungsi menurut fitrah masing-masing.
Si hamba yang dibawa kembali kepada kesedaran keinsanannya dan ditentukan untuk menjalani sesuatu tugas khusus sebagai hamba Tuhan akan terlebih dahulu dibawa kepada pengalaman kehadiran Hakikat Habiballah, kekasih Allah iaitu Nabi Muhammad s.a.w.
No comments:
Post a Comment