REDHA ALLAH YANG AKU CARI....

" Lisan adalah daratan , sdgkan hati adalah lautan . Apabila lisan rosak , manusia akan menangisinya... Namun jika hati yg rosak , maka para malaikat yg akan menangis ... ~ Sayyidina Abu Bakar Ash-Shidiq

Zuhud bukan bermakna miskin..

Ada yang tertanya-tanya samada Islam menentang kekayaan dan perolehan harta. Ada pula yang memainkan perkataan ‘zuhud' bagi menyokong kempen dan kefahaman mereka.

Benar, zuhud adalah satu sifat yang amat baik dan terpuji di dalam Islam, bagaimanapun saya mendapati terdapat salah faham masyarakat Islam dalam memahami ertinya, sehingga ia ditakrifkan sebagai menjauhkan diri dari dunia dan membiarkan diri miskin. Ada juga yang mengganggap zuhud sebagai tidak menggunakan harta yang diperolehi untuk diri, dan keluarga.

Selain itu, ia juga dikatakan zuhud jika berumah, berpakaian dan berkereta usang walaupun mempunyai harta. Membiarkan umat Islam tidak membina sebarang kilang, bangunan dan bisnes kerana ia dikira sebagai zuhud iaitu lari dari dunia sejauh-jauhnya. Dengan demikian dunia akan datang kepada kita. Adakah ini benar-benar yang diarahkan oleh Islam ?.

Tidak kurang juga yang membawakan dalil-dalil yang hebat seperti sabda Nabi SAW :-

كُنْ في الدُّنْيَا كَأَنَّكَ غَرِيبٌ أو عَابِرُ سَبِيلٍ

Ertinya : Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau seperti orang yang melintas ( Riwayat Al-Bukhari, no 6053, 5/2358 )

Diberi pula lagi dengan satu hadis Nabi SAW :

والله ما الدنيا فى الآخرة إلا مثل ما يجعل أحدكم اصبعه هذه وأشار يحيى بالسبابة فلينظر بم ترجع

Ertinya : Demi Allah, tiadalah kehidupan di dunia kecuali seperti seseorang yang mencelupkan jarinya ini ( di dalam lautan sambil perawi menunjukkan jari telunjuknya) dan lihatlah apa yang mengikut (jari tadi dari air) " ( Muslim, no 858, 17/192 )

Demikian juga firman Allah SWT :-

بَلْ تُؤْثِرُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَى

Ertinya : Tetapi kamu (orang-orang kafir) memilih kehidupan duniawi Sedang kehidupan akhirat adalah lebih baik dan lebih kekal ) a'la : 16 & 17 )

APAKAH ZUHUD ?

Sebenarnya zuhud bukanlah :-

*
1) Menjauhkan diri dari dunia
*
2) Berpakaian lusuh
*
3) Berkereta dan berumah buruk dalam keadaan mampu
*
4) Membiarkan diri miskin

Membiarkan diri miskin adalah zuhud??Zuhud yang sebenarnya adalah mengutamakan kehidupan akhirat dari dunia. Sebagaimana yang dinyatakan dalam surah ‘ala ayat 16 dan 17 tadi, yang mana Allah SWT menyifatkan orang bukan Islam mengutamakan dunia semata-mata, kemudian Allah menyebut kehidupan akhriat lebih baik dan kekal.

Apabila Allah SWT menggunakan perkata "lebih baik" ini bermakna kehidupan dunia adalah "baik" , Cuma akhirat ‘lebih baik' dan ‘lebih kekal'. Justeru Islam tidak sesekali melarang umatnya mencari yang baik. Nabi juga pernah menyebut bahawa Allah itu maha baik dan suka yang baik-baik. Cuma yang salah dalam hal harta ini dinyatakan dengan jelas oleh Allah dalam ayat berikut :-

كَلَّا بَلْ تُحِبُّونَ الْعَاجِلَةَ وَتَذَرُونَ الْآخِرَةَ

Ertinya : Sekali-kali janganlah demikian. Sebenarnya kamu (hai manusia) mencintai kehidupan dunia, dan meninggalkan (kehidupan) akhirat ( Al-Qiyamah : 20 & 21 )

Iaitu, mencari dunia sehingga melupakan akhirat.

"apakah maksud melupakan akhirat" ?? Tanya seorang peserta kursus kewangan kepada saya.

"iaitulah mengenepikan, tidak endah serta malas mencari ilmu tentang halal haram dalam perolehan dan perbelanjaan hartanya. Orang sebegini tidak endah samada ia riba, rasuah, pecah amanah, curi dan lain-lain, yang penting baginya adalah poket semakin penuh"

"termasuklah juga, mengabaikan kewajiban Islam kerana terlalu mabuk dalam mencari harta, seperti tidak solat, tidak berzakat, abaikan tanggungjawab kepada rumahtangga dan lain-lain" terang saya.

Tiba-tiba seorang rakannya pula bersuara : "Jadi apa kaitannya dengan zuhud ustaz?"

Ini bermakna zuhud itu adalah mencari dan membelanjakan harta tanpa melupakan hukum dan keredhaan Allah SWT. Pandangan Allah akan sentiasa menjadi ‘priority' dalam pengurusan dan pendapatan hartanya. Ia juga akan memastikan zakat dan sedeqah dikeluarkan. Itulah zuhud namanya dan bukannya menjadikan diri miskin dan menjauhi dunia.



"walaupun keretanya besar, rumahnya indah, jamnya berjemana" tambah saya lagi.

"Boleh ke ustaz gunakan benda-benda begitu ustaz" Tanya pemuda pertama tadi lagi.

Sudah tentu boleh,iaitu jika sudah ditunaikan seluruh kewajiban dalam perolehan harta itu dan hatinya sentiasa dijaga agar tidak bangga dan sombong dengan kejayaannya. Buktinya adalah dari sabda Nabi SAW :-

قال أَتَيْتُ النبي في ثَوْبٍ دُونٍ فقال أَلَكَ مَالٌ قال نعم قال من أَيِّ الْمَالِ قال قد آتَانِي الله من الْإِبِلِ وَالْغَنَمِ وَالْخَيْلِ وَالرَّقِيقِ قال فإذا أتاك الله مَالًا فَلْيُرَ أَثَرُ نِعْمَةِ اللَّهِ عَلَيْكَ وَكَرَامَتِهِ

Ertinya : "Aku datang bertemu Nabi SAW dengan berbaju yang kurang elok lalu

Nabi SAW bertanya :

"Adakah engkau mempunyai harta ?"

Aku menjawab : " Ya"

Baginda bertanya lagi : "Dari mana dan apa jenis hartamu itu?"

Aku menjawab : "Allah telah memberiku harta dari ternakan unta, kambing dan kuda"

Nabi terus membalas dengan katanya :

"Jika seseorang kamu telah diberikan harta (yang halal) maka hendaklah atau haruslah ditunjukkan kesan-kesan nikmat dan kemuliaan Allah (yang diberikan) kepadanya" ( Riwayat Abu daud, no 4063, 4/51, tirimidzi, no 2006, 4/364 ; Tirmidizi & Albani : hasan sohih

Imam Ibn Hajar berkata maksud hadis ini menyebut hendaklah seseorang itu memakai pakaian bersih yang layak dengan kedudukannya agar jika terdapat orang yang ingin meminta bantuan, maka boleh dikenali siapa yang boleh memberikannya. Pada masa yang sama mestilah ia menjaga niatnya dan menjauhi pembaziran. Demikian juga yang disebutkan di dalam kitab Tuhfatul Ahwazi (Rujuk Fath Al-Bari, 10/260 ; Tuhfatul Ahwazi, 6/122)

Tafsiran zuhud yang saya berikan adalah bersandarkan firman Allah yang tidak menegah kita menjadi kaya dan berharta, tetapi yang dikehendaki adalah sentiasa peka dan berjaga dengan tipu daya harta agar tidak lalai dari halal haram dan keredhaaan Allah.

Firman Allah :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu dari mengingat Allah. Barang siapa yang membuat demikian maka mereka itulah orang-orang yang rugi. ( Al-Munafiqun : 9 )

Islam tidak melarang sama sekali kita untuk menjadi kaya dan menggunakan peralatan, kemudahan dan pakaian yang layak dengan pendapatan kita. Malah ia amat digalakkan untuk menjadi kaya dengan cara yang halal, kerana dengan itu zakat dapat dikeluarkan bagi membantu umat Islam yang tidak berkemampuan.

Harta hanya akan menjadi tercela bila ia membawa kepada kelalaian dan pengabaian yang wajib di sisi Allah : Inilah yang disebutkan oleh salah seorang ulama tabien yang terhebat iaitu Said Ibn Jubair iaitu :-

متاع الغرور ما يلهيك عن طلب الآخرة , وما لم يلهك فليس بمتاع الغرور ولكنه متاع بلاغ إلى ما هو خير منه

Ertinya : Harta yang menipu adalah apa-apa yang melalaikanmu dari mencari akhirat, dan apa sahaja yang tidak melalaikanmu dari akhirat bukanlah dari jenis harta atau kerja yang melalaikan tetapi ia dianggap harta yang boleh menyampaikan kamu kepada apa yang lebih baik (akhirat)" ( Jami' al-Ulum wal Hikam, hlm 360)

TAKRIF ZUHUD

Para ulama silam juga pernah membetulkan salah faham tentang pengertian zuhud ini. Lihatlah pengertian zuhud yang disebut oleh mereka :-

Imam Ibn Juzai berkata :-

ليس الزهذ بترك الحلال , ولا إضاعة المال فقد يكون الغني زاهدا , إذا كان قلبه مفرغاً عن الدنيا , وقد يكون الفقير دنيويا إذا اشتدّ حرصه , وكان معمور القلب بالدنيا

Ertinya : Bukanlah zuhud itu dengan meninggalkan ( pendapatan dan harta) yang halal, bukan juga membuang harta, kemungkinan seorang yang kaya itu bersifat zuhud apabila hatinya kosong dari dunia (tidak mengharapkan sesuatu dari dunia dan kekayaannya untuk dunia), dan berkemungkinan orang faqir itu adalah orang yang bersifat duniawi apabila hatinya amat berkehendakan dunia, tatkala itu hatinya segar dengan ikatan kepada dunia ( Al-Qawanin Al-Fiqhiyyah, hlm 471 )

Imam Sufyan bin ‘Uyainah ditanya berkenaan zuhud lalu beliau menjawabnya :-

إن نقصت لم يغنم وإن زادت لم يفرح ولا يكره الموت لفراقها

Ertinya : Sekiranya sesuatu harta itu hilang atau kurang sesorang itu tidak terlalu bersedih dan tatkala ia bertambah ia tidak pula gembira, dan ia tidaklah merasa bencikan mati kerana tidak mahu berpisah dengan hartanya " ( Jami' Al-ulum wal Hikam, hlm 256 )

Imam Al-Qarafi pula berkata :-

ليس الزهد عدم ذات اليد , بل عدم احتفال القلب بالدنيا , وإن كانت في ملكه

Ertinya : Bukanlah zuhud itu tidak mempunyai sesuatu di dalam tangan, tetapi ia adalah tidak bergembiranya hati dengan dunia ( perolehan dunia) walaupun ia jatuh ke dalam miliknya" ( Az-Zakhirah, Al-Qarafi )

Kesimpulannya

Diharuskan mencari harta sebanyak-banyaknya dengan syarat ia tidak melalaikan dari akhirat. Melalaikan akhirat adalah dengan tidak mengendahkan hukum Islam dan mengambil ringan tentangnya. Fokus utama mereka hanyalah memperolehi keuntungan dan menebalkan poket sahaja. Halal haram diletakkan sebagai hal kedua. Justeru, fahamilah konsep sebenar dalam pencarian harta, fahamilah pandangan Islam dalam semua instrumen mendapatkan harta, tidak dinafikan terlalu banyak cara dan instrumen baru serta canggih diperkenalkan tapi awas, tidak semuanya membawa kebahagiaan di akhirat kelak.

Bersifat zuhud bukanlah bermaksud membiarkan diri miskin, tidak berusaha, berpakaian dan berkenderaan lusuh dalam keadaan berharta dan mampu. Justeru, amat diharapkan umat Islam tidak menjadikan zuhud sebagai alasan ketidakmajuan mereka dan tidak pula tersilap memahami konsep harta dalam Islam hanya kerana tidak faham erti sebenar zuhud.

Sekian

No comments:

Post a Comment